Kerjasama SpaceIn dan Apadilangit untuk Pembangunan Pendidikan dan Penerokaan Teknologi Angkasa

22 Feb 2022 – SpaceIn Sdn Bhd, syarikat spin-off Universiti Sains Malaysia telah menandatangani MOA bersama Langit Kita Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai Apadilangit. Perjanjian ini merangkumi pembangunan bersama modul pendidikan teknologi angkasa dan Apadilangit dilantik untuk memasarkan produk pendidikan angkasa dan perkhidmatan pelancaran belon altitud tinggi yang dibangunkan oleh SpaceIn Sdn Bhd.

‘Apadilangit sudah lama berada dalam industri pendidikan angkasa dan sangat berpengalaman menjalankan pelbagai aktiviti bersama pelajar-pelajar sekolah di Malaysia. Pada tahun 2021 sahaja, peserta program Apadilangit telah mencapai 180,363 orang. Oleh itu, kerjasama ini diharap dapat melengkapkan ekosistem pendidikan angkasa yang mana SpaceIn dapat membantu untuk membekalkan kit pembelajaran berkaitan teknologi angkasa kepada Apadilangit. Kit pembelajaran yang dinamakan ‘Cansat fo Kit Education (CaKEd)’ dibangunkan untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai teknologi pembuatan satelit.’ Jelas Dr Norilmi Amilia Ismail, Pengarah SpaceIn Sdn Bhd.
CEO Apadilangit, En Hafez Ahmad Murtza menyatakan bahawa pelancaran belon beraltitud tinggi (HAB) antara cara paling mudah dan murah untuk memberi keterujaan angkasa kepada pelajar dan peminat angkasa. Kerjasama bersama SpaceIn untuk perkhidmatan pelancaran HAB ini membuka peluang kepada semua untuk turut sama dalam aktiviti angkasa.
SpaceIn Sdn Bhd adalah syarikat yang membangunkan teknologi satelit bersaiz kecil. Syarikat ini ditubuhkan pada November 2020 dan bermula dengan produk pendidikan satelit. SpaceIn baru sahaja memenangi geran SUPERB TERAJU 2021 untuk projek IoT satelit menggunakan platform satelit piko.
Apadilangit adalah sebuah syarikat yang bertujuan untuk mewujudkan kesedaran angkasa lepas kepada generasi muda dan menyumbang kepada pembangunan teknologi dan sosial negara dengan membangunkan komuniti angkasa lepas, membina teknologi, mencipta pendekatan baharu dan membantu merangsang kesedaran nasional Malaysia dan program angkasa global serta kepentingannya untuk masyarakat dan ekonomi moden Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *